LAMAN WEB WAN SABARUDIN

CERITA MENARIK
Home
PERKIRAAN
FATWA TERKINI
AL-KISAH
CERITA MENARIK
LINK MENARIK
PETUA
FIRASAT MIMPI
FIRASAT SIFAT FIZIKAL
FIRASAT
FIRASAT 2
FIRASAT 3
-
RAHSIA GERAK
RENUNGAN

KISAH LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar (kaldai), manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki." Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka dengan katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

PENGASAS EMPAT MAZHAB

PENGASAS MAZHAB HANAFIIMAM ABU HANIFAH (80-150 H / 699-767 M)

Abu Hanifah An Nukman b. Tsabit b. Zufi'at At Tamimi adalah pengasas Mazhab Hanafi. Beliau dilahirkan di Kufah, pada masa pemerintahan Al Khalid b Abd Malik. Sejak dari kanak-kanak lagi beliau telah mengkaji dan menghafal Al Quran. Untuk mendalami lagi ilmu pengetahuannya tentang Al Quran, beliau telah berguru dengan Imam Abu A'sim iaitu seorang ulamak yang terkenal pada waktu itu. Beliau juga mempelajari ilmu Fiqh dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w, seperti dari Anas b. Malik, Abdullah b. Aufa, Abu Tufail b. Amir dan ramai lagi. Dari sahabat-sahabat ini juga beliau mempelajari ilmu hadis. Beliau sangat tekun dalam mempelajari ilmu Fiqh dari seorang ulama yang terkenal pada waktu itu iaitu Humad b. Abu Sulaiman tidak kurang dari 18 tahun. 10 tahun selepas kematian gurunya (130 H) beliau berangkat ke Mekah pula. Di sana beliau berguru dengan salah saorang murid Abdullah b. Abbas r.a. Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang yang sangat dalam ilmunya, ahli zuhud, tawaduk dan sangat teguh memegang ajaran agama. Beliau tidak tertarik kepada jawatan rasmi kerajaan dengan sebab beliau pernah menolak jawatan hakim yang ditawarkan oleh Khalifah Al Mansur. Diriwayatkan kerana penolakannya, beliau dipenjarakan hingga ke akhir hayatnya. Beliau wafat pada usia 70 tahun dan dimakamkan diperkuburan Khizra. Pada tahun 450 H / 1066 M didirikan sebuah sekolah agama yang dinamakan Jami' Abu Hanifah. Diantara kitab karangan beliau seperti Al Musu'un, Al Makha'rij dan Fiqh Akhbar.

 

PENGASAS MAZHAB MALIKIIMAM MALIK B ANNAS (93-179 H / 172-258 M)

Imam Malik b Annas adalah pengasas Mazhab Maliki. Beliau dilahirkan di Madinah dan berasal dari Kabilah Yamaniah. Sejak kecil lagi beliau telah menghafal Al Quran dan ibunya sentiasa memberi dorongan agar beliau bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Beliau mula belajar dari seorang ulama yang terkenal waktu itu yang bernama Ribiah dan mendalami ilmu Hadis dari Ibnu Syihab disamping mempelajari ilmu Fiqh daripada para sahabat. Kerana ketekunan dan kecerdasan fikirannya, beliau terkemuka dalam bidang ilmu Hadis dan Fiqh. Beliau juga sangat berhati-hati dalam memberi fatwa. Beliau akan bermusyawarah terlebih dahulu dengan sekalian para para ulama sebelum mengeluarkan sesuatukan fatwa. Imam Malik memiliki daya ingatan yang sangat kuat. Pernah beliau mendengar 31 Hadis dari Ibnu Syihab tanpa menulisnya dan bila diminta mengulanginya semula tidak satu baris pun yang dilupainya. Beliau berkata : Ilmu itu adalah cahaya, ia mudah dicapai dengan hati yang takwa dan khusyuk. Beliau juga menasihati agar menjauhkan keraguan katanya. Sebaik-baik perkerjaan ialah yang jelas, jika salah satu dirinya meragukanmu maka kerjakanlah apa yg lebih yakin menurut perkiraanmu. Antara kitab karangan beliau yang termahsyur ialah Al Muwatha iaitu sebuah kitab Hadis dan Fiqh. Imam Malik wafat pada usaha 86 tahun.

 

PENGASAS MAZHAB SYAFIEIMAM MUHAMMAD B IDRIS ASY SYAFIE AL QURAISYI (150-240 H / 717-820 M)

Nama penuh beliau ialah Muhammad b. Idris Asy Syafie Al-Quraisyi pengasas Mazhab Syafie. Beliau dilahirkan di Ghazzah pada tahun 150 H bertepatan tahun wafatnya Imam Abu Hanifah. Meskipun beliau dilahirkan dalam keadaan yatim dan di besarkan dalam keluarga yang miskin, itu tidak menjadikan beliau merasa rendah diri apa lagi malas. Beliau begitu bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu Hadis dari ulamak hadis yang terdapat di Mekah ketika itu. Pada usaha yang masih kecil lagi beliau telah menghafal Al-Qur'an. Pada usianya 20 tahun, beliau telah berguru dengan Imam Malik dalam ilmu Fiqh dan Hadis di Madinah. Seterusnya beliau pergi ke Iraq dan berguru dengan sahabat-sahabat Imam Abu Hanifah. Setelah wafat Imam Malik (179 H) beliau berangkat ke Yaman untuk mengajar ilmu di sana. Selepas itu Khalifah Harun Al Rashid pula mengundang beliau untuk datang ke Baghdad. Pada tahun 198H beliau pergi ke Negeri Mesir dan mengajar di Masjid Amru b. As. Kitab karangan beliau yang mahsyur ialah seperti Al-Um, Amali Kubra, Kitab Risalah dan Usul Figh. Adapun dalam menyusun Usul Fiqh Imam Syafie dikenali sebagai orang yang pertama mempelupuri penulisan dalam bidang tersebut. Akhirnya beliau wafat disana.

 

PENGASAS MAZHAB HAMBALIIMAM AHMAD B. HAMBAL (164-241 H / 780-855 M)

Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah Ahmad b. Muhammad b. Hambal b. Bilal Al Syaibani. Beliau dilahirkan di Baghdad dan dibesarkan dalam yatim oleh ibunya. Ayahnya meninggal semasa beliau masih bayi. Semenjak kecil beliau telah menunjukan sifat dan peribadi yang mulia. Sehingga menarik minat ramai terhadapnya, serta amat tekun dalam menuntut ilmu pengetahuan. Beliau memulai dengan belajar menghafal Al Quran, Bahasa Arab, Hadis, Sejarah Nabi serta para sahabat dan para tabi'in. Untuk memperdalamkan ilmunya, beliau pergi ke Basrah dan berguru dengan Imam As Syafie. Beliau juga pergi menuntut ilmu ke Mesir dan Yaman. Diantara guru beliau ialah Yusuf Al Hassan, Ibnu Human dan Ibnu Abbas. Beliau banyak mempelajari dan meriwayatkan hadis tetapi tidak mengambilnya, kecuali yang sudah jelas sahihnya. Kitab karangan beliau yang terkenal ialah `Musuad Ahmad Hambali '. Beliau mula mengajar ketika berusia 40 tahun. Pada masa pemerintahan Al Muktasim ( Khalifah Abbasiah ) beliau telah dipenjarakan kerana tidak bersependapat dengan fahamam yang mengatakan bahawa Al Quran itu adalah mahkluk. Beliau dibebaskan pada masa pemerintahan Khalifah Al Mutawakkil. Imam Ahmad wafat di Baghdad dalam usia 77 tahun.

 

DARI RUMAH KEKASIH KE RUMAH KEKASIH

Sebahagian orang salih bercerita:

Saya melihat seorang wanita berjalan sendirian di padang pasir.  Ia berjalan dengan tenang dan tenteram,  tidak merasa bimbang dan takut pun,  padahal tiada seorang pun yang bersamanya untuk menemaninya.   Saya sungguh hairan melihat keberaniannya.

Saya lalu mendekatinya dan memberi salam kepadanya.

"Assalamu alaikum!"

"Wa alaikumus salam,"  jawabnya bersahaja.

"Dari manakah ibu ini?!"  tanyaku kepadanya.

"Dari rumah kekasih,"  jawabya pula.  Kekasih apa di tengah-tengah padang pasir ini,  kataku di dalam hati.

"Hendak ke mana pula?!"  tanyaku lagi.

"Ke rumah kekasih,"  jawabnya tenang sahaja.  Apa kata wanita ini,  dari rumah kekasih ke rumah kekasih,  barangkali terganggu otaknya.

"Tidak takutkah ibu berjalan sendirian di padang pasir yang sunyi sepi ini?"

"Takut?"  soalnya kepadaku,  lalu dia mendongak ke atas langit sambil berkata dengan suara yang keras:

Maksudnya:  "Dialah Zat yang mengetahui segala yang masuk ke dalam bumi dan yang keluar daripadanya,   dan yang turun dari langit dan yang naik kepadanya,  dan dia Zat yang menyertaimu di mana sahaja engkau berada.  Dan dia mengetahui segala yang engkau perbuat."     (AL-Hadid: 4)
 

Kemudian wanita itu memandang kepadaku seraya berkata pula:

"Wahai orang yang tidak sedarkan dirinya!

Siapa yang benar-benar senang kepada Allah takkan tenang dia kepada selainNya.  Siapa yang benar-benar mencari kerelaan Allah akan rela atas semua atas ketentuanNya."

Selesai dari mengucap kalimah itu,  tiba-tiba ia menghilangkan dirinya dari pandanganku.  Kemanakah dia sudah pergi,  entahlah kelibatnya pun tidak kelihatan lagi.

Begitulah halnya para kekasih Allah,  mereka takkan merasa takut kepada selain Allah,  dan takkan merasa susah sedikitpun kerana mereka selalu berada dekat denganNya.  

KEKAYAAN TANPA HARTA, ILMU TANPA BELAJAR DAN KEMULIAAN TANPA KAUM KELUARGA
Petikan Dari Untaian Kisah Para Wali Allah

Syeikh As-Sariy As-Saqqathy r.a.  bercerita:

Sekali peristiwa sedang aku berada di Baitul-Maqdis,  ketika itu aku duduk di Sakhrah berdekatan dengan Masjid Al-Aqsha.  Aku dalam keadaan sedih dan pilu sekali,  kerana hari-hari untuk perlaksanaan haji ke Batullah hanya tinggal sepuluh hari saja lagi,  jadi aku merasa kesal sekali kerana tidak dapat menunaikan ibadat Haji pada tahun itu

Aku berkata dalam hatiku:

"Alangkah buruknya nasib!  Semua orang telah berangkat menuju ke Makkah untuk menunaikan haji,  dan kini yang tinggal hanya beberapa hari saja,  padahal aku masih berada di sini!"

Akupun menangis kerana ketinggalan amalan Haji tahun ini.  Tidak beberapa lama sesudah itu,  aku terdengar suatu suara ghaib menyambut tangisanku tadi.  Katanya:

"Wahai Sariy Saqathy!  Janganlah anda menangis,  nanti Tuhan akan mengirimkan utusanNya untuk menghantarmu ke Baitullahil-Haram,  Makkah di saat ini juga.!"

Aku bertanya dalam hatiku:  Bagaimana ini boleh terjadi,  sedang saat ini aku masih di sini,  padahal perlaksanaan haji tinggal beberapa hari lagi?  Apakah aku akan diterbangkan?  atau bagaimana?

Suara itu kedengaran lagi:

"Jangan engkau ragu! Allah Maha Kuasa mampu mempermudah segala yang sukar bagaimanapun caranya."

Mendengar jawapan itu,  aku langsung bersujud kepada Allah untuk bersyukur dengan airmata kegembiraan.  Kemudian aku duduk dengan hati yang berdebar-debaran dan hatiku terus bertanya:

"Benarkah apa yang dikatakan oleh suara itu?!"

Tiba-tiba dari jauh tampak dengan jelas empat orang pemuda berjalan cepat-cepat menuju ke masjid,  dan kelihatan wajah keempat-empat pemuda itu sangat bersinar.  Seorang di antaranya lebih tampan dan berwibawa,  mungkin dia itulah pemimpin rombongan ini.  Mereka sholat masing-masing dua rakaat.  Saya turun dari Sakhrah,  lalu mendekati mereka,  dalam hatiku berkata:

"Moga-moga mereka inilah orang-orang yang dijanjikan oleh Tuhan dalam suara ghaib tadi!"

Aku mendekati pula pemuda yang aku menganggapnya sebagai pemimpin rombongan ini agar aku dapat mendengar doa dan munajatnya.  Aku dapatinya sedang menangis,  kemudian dia berdiri,  menyentuh hati sanubariku.  Selesai bersholat dia lalu duduk dan datang pula ketiga-tiga pemuda yang lain pula yang duduk di sisinya.

Berkata Sariy Saqathy:
Akupun mendekati mereka serta memberi salam kepada mereka.

"Waalaikumussalam,"  Jawab pemuda pemimpin itu,

"Wahai Sariy Saqathy,  wahai orang yang mendengar suara ghaib pada hari ini.  Bergembiralah,  bahawa engkau tidak akan ketinggalan haji pada tahun ini."

Aku hampir-hampir jatuh pengsan,  apabila mendengar berita itu.  Aku terlalu gembira,  dan tidak dapat kusifatkan betapa hatiku merasa senang sekali,  sesudah tadinya aku bersedih dan menangis.

"Ya,  memang saya dengar suara ghaib itu tadi,"  Jelas Sariy Saqathy.

"Kami,"  Kata pemuda itu,  "Sebelum suara ghaib itu membsikkan suaranya kepada mu itu,  kami sedang berada di negeri Khurasan dalam penujuan kami ke Negeri Baghdad.  Kami cepat-cepat menyelesaikan keperluan kami di sana,  dan terus berangkat ke arah Baitullahi-Haram.  Tiba-tiba terfikir oleh kami ingin menziarahi makam-makam para Nabi di Shyam,  kemudian barulah kami akan pergi ke Makkah yang dimuliakan oleh Allah tanahnya.  Kini kami telah pun memenuhi hak-hak para Nabi itu dengan menziarahi makam-makam mereka,  dan kami datang ke mari pula untuk menziarahi Baitul-Maqdis,"  Pemuda itu menjelaskan lagi.

"Tetapi,  apa pula yang tuan-tuan melakukan ketika di Khurasan awal-awal itu,?"  Tanya Sariy Saqathy.

"Kami mengadakan pertemuan dengan rakan kami,  iaitu Ibrahim Bin Adham Ma' ruf Al-Karkhi.  Dan saat ini mereka sedang menuju ke Makkah,  melalui jalan padang pasir,  dan kami pula singgah di Baitul Maqdis."

Hairanku memuncak kini,  apakah benar apa yang mereka katakan itu?  Mana Khurasan dan mana pula Sham?  Jarak di antara kedua-duanya amat jauh sekali dan jika ditempuh berjalan kaki memakan masa setahun lamanya.  Bagaimana mereka dapat menempuhnya dengan sekelip mata sahaja?!

"Moga-moga Allah merahmatimu,"  ujarku.  "Perjalanan dari Khurasan dan Baitul Maqdis kerap kali ditempuh selama setahun?  Bagaimana kamu dapat menempuhnya dalam masa yang singkat sekali?!"  tambahku lagi.

"Wahai Sariy,  jangan kau hairan!"  Kata pemuda pemimpin itu.  "Kalau perjalanannya itu sampai seribu tahun sekalipun,  bukankah kita ini semua hamba-hamba Allah,  dan bumi pun bumi Allah?!  Kita pun pergi untuk menziarahi rumahNya,  jadi Dialah yang menyampaikan kita ke sana dan kuasa dan kehendak ialah kuasa dan kehendakNya.  Tidakkah engkau lihat betapa matahari beredar dari timur dan barat pada suatu hari sahaja,  yakni siangnya.  Cuba engkau fikirkan bagaimana matahari itu beredar?  Apakah ia beredar dengan kuasanya sendiri,  ataukah dengan kuasa Tuhan?  Kalaulah matahari itu yang hanya jamad (benda yang tidak bernyawa),  dan ia tidak ada hisab,  (perhitungan) dan tidak ada iqab (siksa) ia boleh beredar dari timur ke barat dalam satu hari,  jadi tidaklah mustahil bagi seorang hamba dari hamba-hamba Allah boleh memotong perjalanan dari Khurasan ke Baitul Maqdis dalam satu saat sahaja.  Sesungguhnya Allah Ta'ala mempunyai kuasa mutlak dan kehendak untuk membuat sesuatu yang luar biasa kepasa siapa yang dicintaiNya atau yang dipilihNya,  tiada suatu kuasa yang dapat menghalangi kuasa dan kehendakNya."

Dia berhenti semula kemudian menyambung lagi:

"Engkau wahai Sariy Saqathy!"  Seru pemuda itu tadi,  "Hendaklah engkau memuliakan dunia dan akhirat sekaligus?"

Dia menjawab:

"Siapa yang mahukan kekayaan tanpa harta,  dan ilmu pengetahuan tanpa belajar serta kemuliaan tanpa kaum keluarga,  maka hendaklah ia membersihkan jiwanya dari mencintai dunia sama sekali, jangan sekali-kali ia bergantung kepada dunia,  dan jangan sampai hatinya mengingatinya sama sekali!"

"Tuan!  demi Allah yang telah menggutamakanmu dengan Nur cahayaNya,  dan Yang telah Membukakan bagimu darihal rahsia-rahsiaNya,  sekarang engkau akan berangkat ke mana?!"  tanya Sariy Saqathy.

"Kami akan berangkat untuk menunaikan haji,  kemudian menziarahi maqam nabi alaihis-shalatu was-salam."

"Demi Allah,  aku tidak akan berpisah denganmu lagi,  kerana berpisah denganmu bererti berpisahnya roh dengan jasad,"  Aku merayu kepadanya.

"Kalau begitu,  marilah kita berangkat bersama dengan menyebut Bismillah."

Dia mula bersia-siap dan berangkat jalan.  Aku pun menurut di belakangnya.  Sebentar saja kami berjalan,  tiba-tiba sudah masuk waktu solat zohor.

"Wahai Sariy,  sekarang sudah masuk waktu Zohor,  engkau tidak bersolat Zohor?!"  tanyanya.

"Ya,  aku akan bersolat Zohor", kataku.

Aku pun segera mencari debu bersih untuk bertayammum.  Tiba-tiba kata pemuda itu:

"Tak perlu tayammum.  Di sini ada mata air tawar,  mari ikut aku ke sana!"

Aku sebagai orang yang bodoh ikut ke jalan yang diarahkan.  Di situ memang benar ada sebuah mata air tawar,  rasanya lebih enak dan lebih manis dari rasa madu.

Aku pun berwudhuk dengan air itu serta meminumnya dengan sepuas-puasnya.  Kemudian aku berkata kepadanya:

"Tuan!  demi Allah,  aku telah melalui jalan ini berkali-kali,  tetapi tak pernah aku menemui mata air ini,  ataupun air apa pun di tempat ini?!"

"Kalau begitu kita harus bersyukur kepada Allah atas kemurahanNya terhadap hamba-hambaNya."

Kamipun bersholat bersama-sama,  kemudian berjalan lagi hingga dekat ke waktu Asar.  Aku tidak percayakan diriku ketika aku lihat menara-menara tinggi Negeri Hijaz itu.  Tidak beberapa lama sesudah itu,  aku terlihat tembok-tembok Kota Makkah.  "Oh,  ini Makkah!  bisik hatiku.  Betulkah aku dalam keadaan sedar, ataupun mungkun ini hanya sebuah impian malam saja!!!

Tiba-tiba tercetus dari mulutku,  "Eh  kita sudah sampai ke Makkah?!"  Aku terus menangis dan airmataku menjirusi seluruh pipiku.

"Wahai Sariy,"  Kata pemuda itu.  "Engkau sudah sampai di Makkah.  Sekarang engkau hendak berpisah denganku ataupun kau hendak masuk bersama-sama denganku?!"  Tanya pemuda itu.

"Ya,  saya akan masuk bersamamu,"  Jawabku.

Kami pun masuk Makkah itu menerusi pintu Nadwah.  Di situ aku temui dua orang laki-laki sedang menunggu kami.  Seorang agak sudah tua parasnya dan yang lain pula masih muda dan tegak lagi.

Apabila kedua orang laki-laki itu melihat pemuda tadi,  mereka tersenyum dan serta merta mereka datang dan mendakapnya.  Kemudian sebut mereka:  Alhamdulillah alas-salaamah! (segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kamu.)

"Tuan,  siapa mereka ini"  tanyaku.

"Ah,"  bunyi suaranya.  "Yang tua ini ialah Ibrahin Bin AdHam dan pemuda ini ialah Ma'ruf Al-Karkhi."

Akupun bersalaman dengan mereka.

Kami sekelian duduk di dalam masjid itu hinggalah tiba waktu sholat Asar.  Kemudian kita bersholat pula sholat Maghrib dan Isyak di Masjidil Haram itu.

Sesudah itu,  maka masing-masing mereka mengambil tempat-tempat sendiri di dalam masjid itu bersholat bermacam-macam sholat.  Aku juga turut bersholat sekadar kemampuanku sehinggalah tertidur dengan nyenyaknya.  Apabila aku tersedar dari tidurku itu aku dapati mereka sudah tidak ada lagi di situ.  Aku cuba mencarinya di merata Masjidil-Haram itu,  tiada suatu ceruk pun melainkan sudah aku amat-amatinya,  namun bayangnya pun tidak kudapati.  Ke mana mereka telah pergi?  aku merayau-rayau di situ selaku orang gila yang tidak tentu arahnya.

Kemudian aku pergi mencari mereka di merata tempat lain,  di sekitar Masjidil-Haram,  dan merata-rata kota Makkah,  di Mina,  dan di tempat-tempat lain lagi,  namun aku tidak menemui walau seorang pun dari mereka.

Aku merasa sedih sekali,  dan kadang-kadang aku menangis seorang diri,  kerana telah terpisah dari mereka itu sekelian.

Moga-moga Allah merahmati mereka sekelian!.